1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik kenyataan yang telah disuarakan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung isu tular melibatkan tindakan melarang seorang individu daripada berada di dalam surau selepas menunaikan solat Subuh.
2. Insiden ini perlu dipandang serius kerana melibatkan aspek adab serta tatakelola yang sepatutnya diterapkan dalam pengurusan rumah ibadah umat Islam.
3. JAKIM ingin menegaskan bahawa masjid dan surau merupakan institusi Rahmah yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan perpaduan umat. Prinsip ini menekankan nilai kasih sayang, toleransi, hikmah dan keterangkuman, selaras dengan semangat Malaysia MADANI. Masjid dan surau bukan sekadar tempat ibadah, malah menjadi pusat pendidikan, perpaduan dan pembangunan komuniti.
4. Dalam hal ini, JAKIM sentiasa mempergiatkan usaha dalam menyuburkan nilai Masjid Rahmah bagi memastikan Islam terus Mekar di Bumi Malaysia. Pendekatan ini dilaksanakan melalui pendidikan, advokasi dan libat urus secara berterusan dengan pihak pengurusan masjid, institusi agama negeri serta masyarakat awam. Antara penekanan utama ialah penghayatan akhlak Islamiah dalam menyantuni jemaah dan pengunjung, khususnya dalam suasana rumah Allah SWT yang sepatutnya tenang, damai dan menginsafkan.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
Hubungi Kami
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya, No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.