Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran

Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 Tahun 1448/2026

JAKIM Berpelembagaan

Sejarah & Perlembagaan

PENUBUHAN JAKIM
PENUH BERPERLEMBAGAAN

Perkembangan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menelusuri sejarah yang panjang. Penubuhannya semenjak dari peringkat awal adalah menepati semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

✦

Perjalanan Penubuhan JAKIM

Perkembangan institusi dari Unit Ugama sehingga penubuhan JAKIM

68
1968

Penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam

Penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja pada tahun 1968. YAB Perdana Menteri diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi, manakala Unit Ugama JPM berfungsi sebagai urus setianya.

74
1974

Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri

Pada tahun 1974, urus setia MKI telah dinaik taraf kepada sebuah bahagian iaitu Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri. Dengan tugas dan tanggungjawab yang semakin besar dan mencabar, cawangan-cawangan baharu telah ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan fungsi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

84
1984

Penubuhan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS)

Pada tahun 1984, suatu inisiatif telah diambil untuk menyusun semua struktur organisasi Bahagian Ugama JPM dan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) diwujudkan sesuai dengan tanggungjawabnya yang lebih besar.

Fungsi BAHEIS adalah untuk melaksanakan program di bawah JPM di samping meneruskan tugas sebagai urus setia MKI.

97
1 Januari 1997

Penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Selaras dengan transformasi tadbir urus negara yang kian berkembang, pada 1 Januari 1997, BAHEIS telah dinaik taraf kepada sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Fungsi utama JAKIM adalah sebagai badan perancang dan penyelaras hal ehwal Islam di peringkat kebangsaan meliputi aspek penyeragaman undang-undang dan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam, hukum syarak, pendidikan Islam seluruh negara serta memastikan dasar dan perancangan pembangunan negara berkaitan agama berjalan dengan lancar.

⚖

Asas Perlembagaan

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dirujuk

PERKARA 3(1) — AGAMA BAGI PERSEKUTUAN

Penubuhan JAKIM sejak peringkat awal adalah dikaitkan dengan semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

PERKARA 37(1) — SUMPAH JAWATAN YANG DI-PERTUAN AGONG

“

Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Keempat di hadapan Majlis Raja-Raja dan dengan kehadiran Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (atau semasa ketiadaannya dengan kehadiran hakim Mahkamah Persekutuan yang kanan selepasnya yang ada); dan sumpah itu hendaklah diakusaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu oleh Majlis Raja-Raja.

PERKARA 38(3) — MAJLIS RAJA-RAJA

Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara-perkara mengenai dasar negara, Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.

PERKARA 39 — KUASA EKSEKUTIF PERSEKUTUAN

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

✦

Peranan dan Tanggungjawab JAKIM

Fungsi JAKIM selepas dinaik taraf sebagai sebuah jabatan

1

Sebagai badan perancang dan penyelaras hal ehwal Islam di peringkat kebangsaan meliputi aspek penyeragaman undang-undang dan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam, hukum syarak dan pendidikan Islam seluruh negara.

2

Memastikan dasar dan perancangan pembangunan negara berkaitan agama berjalan dengan lancar serta mempertingkat dan memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan kesucian agama.

3

Menyelaras, menilai dan memberi cadangan terhadap aktiviti keislaman yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan bagi memastikan tidak berlaku pertentangan antara kepentingan negara dengan kepentingan Islam.

4

Menyelaras perancangan aktiviti bagi membantu pihak berkuasa agama negeri dalam memperkemaskan bidang dakwah Islamiah dan pembangunan keilmuan Islam.

5

Di peringkat antarabangsa, membantu mempertingkatkan kerjasama strategik dengan negara luar dan badan-badan antarabangsa demi memartabatkan syiar Islam.

PERKARA 12(2) — INSTITUSI ISLAM

Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu.

Adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

✦

Kesimpulan

Penubuhan JAKIM adalah menepati Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A), dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan yang memanifestasikan bahawa pihak Kerajaan mempunyai kuasa untuk menubuhkan, mengurus dan memberikan dana kepada mana-mana institusi berkaitan Islam.

Peruntukan mengenai Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan semestinya memberi manfaat kepada umat Islam dan kelebihan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan di mana Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Negara dan para Sultan menjadi Ketua Agama di negeri-negeri.

Dengan itu, penubuhan JAKIM dihuraikan sebagai sebuah institusi yang mempunyai asas dan kedudukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Image
Hubungi Kami
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Blok A dan B, Kompleks Islam Putrajaya,
No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman,
Presint 3, 62100 Putrajaya,
Malaysia.
+603 8870 7000
+603 8870 7003
Ikuti Kami
Pautan
Kemaskini Terkini
  •  Isnin, 28 September 2026 
Statistik Pelawat
  • Today 13
  • Yesterday 26
  • This Week 13
  • This Month 313
  • This Year 351